KOPETRO Lima Koperasi Terbaik

KOPETRO berjaya memperolehi kedudukan Lima Koperasi Terbaik di Wilayah Persekutuan dan diiktiraf oleh kerajaan. Kejayaan ini adalah pencapaian terbaik di dalam sejarah KOPETRO semenjak ditubuhkan pada 30 Oktober 1980

Hadiah telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Utama Tengku Adnan bin Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan sempena Hari Koperasi Negara Peringkat Wilayah Persekutuan 2017. Majlis penganugerahan tersebut berlangsung pada 26 Ogos 2017 di Medan Tuanku, Kuala Lumpur dengan tema “Transformasi Koperasi ke Arah Kesejahteraan”.

Encik Khairu Najhan bin Zainuddin, Pengerusi KOPETRO dan Datuk Haji Abdul Razak bin Hussain, Setiausaha KOPETRO hadir mewakili KOPETRO untuk menerima anugerah tersebut.

Hari Koperasi Negara (HKN) adalah merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Majlis ini diadakan sebagai pengiktirafan kerajaan kepada gerakan koperasi di atas sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

Sementara itu, KOPETRO juga dipilih untuk memimpin membaca Ikrar Koperasi dihadapan Menteri Wilayah Persekutuan dan ribuan koperator yang hadir di Majlis Perasmian HKN Peringkat Wilayah Persekutuan 2017.

Bacaan diketuai oleh Encik Khairu Najhan bin Zainuddin, Pengerusi KOPETRO bersama 15 orang yang terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi, Pengurusan dan kakitangan KOPETRO.

Sambutan Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan telah diadakan pada 25 hingga 27 Ogos 2017 (Jumaat-Ahad) bertempat di Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh tiga hari sambutan tersebut berlangsung, pelbagai acara menarik dilangsungkan termasuk Ekspo dan Pameran Produk oleh koperasi-koperasi, Ekspo dan Pameran bertujuan untuk mempromosikan dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada anggota dan masyarakat. KOPETRO turut menyertai Ekspo dan Pameran Produk yang melibatkan 44 pempamer.