KOPETRO CATAT SEJARAH KOPERASI TERBAIK

KOPETRO telah dianugerahkan Koperasi Kelima Terbaik buat julung-julung kalinya. Kejayaan ini adalah pencapaian tertinggi di dalam sejarah KOPETRO semenjak ditubuhkan pada 30 Oktober 1980.

Hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sempena Hari Koperasi Negara 2015. Majlis berlangsung di Tebingan Kuching, Sarawak. Di dalam majlis yang sama, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melancarkan Indeks dan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia.

Pengerusi KOPETRO Berhad, Encik Khairu Najhan Zainuddin menganggap kejayaan ini adalah hadiah paling bermakna dan bersejarah untuk KOPETRO. KOPETRO berada dalam kelompok Lima Terbaik dari 12,000 buah koperasi di seluruh Malaysia.

Menurut Encik Khairu Najhan, “Saya berbangga di atas kejayaan cemerlang ini dan menganggap kejayaan ini adalah pencapaian paling bermakna serta bersejarah untuk KOPETRO. Kini KOPETRO berada dalam kelompok 5 terbaik dari 12,000 buah koperasi di seluruh Malaysia. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa usaha dan kerja keras dari semua pihak sama ada daripada Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman, Perwakilan, anggota, Pengurusan dan kakitangan KOPETRO. Semoga kita terus bersamasama mengekalkan momentum dan memastikan kelestarian di dalam perniagaan agar kita dapat terus bersaing setaraf dengan syarikat-syarikat gergasi di Malaysia.”

Hari Koperasi Negara (HKN) adalah merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Majlis ini diadakan sebagai pengiktirafan kerajaan kepada gerakan koperasi di atas sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

Indeks dan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia merupakan pengiktirafan kerajaan kepada gerakan koperasi di negara ini. Sesebuah koperasi ditakrifkan sebagai koperasi terbaik di Malaysia apabila koperasi berkenaan mencapai tahap prestasi kewangan (perolehan, aset dan ekuiti), perniagaan, pengurusan dan pematuhan perundangan yang memuaskan mengikut piawaian (standard) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan diselaraskan dengan kriteria yang digunapakai oleh International Co-operative Alliance (ICA).